Tuesday, March 1, 2011

PENDEKATAN DALAM MENJAMIN PENGELUARAN MAKANAN SELAMAT DARI LADANG

Selaras dengan keperluan untuk menerokai pasaran antarabangsa dan juga mengeluarkan makanan yang bermutu tinggi dan selamat untuk pasaran tempatan, tindakan sedang diambil untuk memenuhi permintaan pasaran terhadap makanan yang selamat dan berkualiti. Ini termasuk tindakan untuk menepati piawaian-piawaian antarabangsa serta pelabelan, penggredan dan pembungkusan yang boleh diterima di pasaran antarabangsa. Beberapa program ataupun kaedah pengeluaran makanan yang selamat dari ladang dilaksanakan iaitu:-

1.  Perlaksanaan Amalan Pertanian Baik (APB)
            Amalan Pertanian Baik (APB)  adalah satu cara mengurus ladang pertanian (tanaman, ternakan dan perikanan) yang berasaskan prinsip dan piawaian minimum amalan mengurus dan mengendali ladang pertanian yang perlu disediakan dan diamalkan oleh pengusaha. Sehubungan itu, Jabatan Pertanian telah memulakan pendekatan baru APB dengan mengadakan Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM)  untuk memberikan pengiktirafan kepada ladang-ladang yang mengamalkan amalan pertanian yan baik berkonsepkan mesra alam sekitar, dan menghasilkan produk yang berkualiti, selamat dan sesuai dimakan dan tidak mengabaikan keselamatan dan kesihatan pekerja.
Skim ini berpandukan kepada konsep Amalan Pertanian Baik di mana pengamalan pengurusan kebun secara mesra alam sekitar dan ke arah pertanian lestari berlandaskan standard-standard yang telah diguna pakai di peringkat antarabangsa seperti  skim yang dilaksanakan oleh EURAGAP, Codex, Malaysian Standard dan berpandukan Akta Makanan 1985 di mana elemen-elemen yang diambil kira bukan sahaja terhad kepada penggunaan racun perosak secara berkhemah malah ia juga memastikan hasil-hasil keluaran mematuhi paras had maksimum residu (MRL) dan kandungan logam berat yang ditetapkan bahkan merangkumi isu-isu alam sekitar, kesesuaian tanah, penggunaan bahan-bahan input, pengurusan pembajaan, pengurusan bahan buangan, penggredan, pembungkusan, pelabelan, kebajikan pekerja dan sebagainya.

Usaha perlu dipergiatkan supaya lebih ramai petani menyertai skim ini dan bagi yang telah berjaya mendapat pengiktirafan meneruskan amalan pertanian baik di ladang mereka.  Pemberian insentif cukai boleh diberi oleh kerajaan kepada pengusaha ladang umpamanya untuk menggalak lebih ramai lagi penyertaan dalam skim ini.    Perlaksanaannya sentiasa perlu diperbaiki dan dikemaskini supaya mendapat pengiktirafan diperingkat antarbangsa.

2Skim Organik Malaysia (SOM)
Jabatan Pertanian juga telah mengadakan perladangan cara organik melalui persijilan dengan mengadakan Skim Organik Malaysia yang berteraskan Piawaian Pengeluaran Bahan Organik MS1529: Malaysia Standard for Plant–Based Organically Produced Food dan penggunakan logo “Organik Malaysia”.  Sistem pengeluaran organik direkabentuk untuk mendapatkan pengeluaran yang maksimum dan dapat mengekalkan kandungan nutrien yang tinggi. Asas mekanisma pengeluaran adalah untuk mengelakkan penggunaan agrokimia sama sekali dan meminimakan kerosakan alam sekitar. Dengan adanya pengiktirafan atau skim seumpama ini yang telah diperkenalkan oleh Jabatan Pertanian, akan dapat memberikan keyakinan kepada para pengguna bahawa produk itu merupakan bahan makanan organik yang sebenar.

Jabatan Pertanian perlu mempergiatkan skim ini dan mewujudkan teknik bertani yang berdasarkan “Natural Farming” iaitu satu kaedah pengeluaran yang menggunakan sumber semulajadi termasuk mikroorganisma setempat (IMO), baja berasaskan tumbuhan dan haiwan serta faktor sekitaran (air, udara, cahaya matahari dan tanah). Sumber-sumber setempat ini dapat bertindakbalas  sesama mereka bagi menggalakkan pertumbuhan serta penghasilan secara organik. Ia dapat membantu meningkatkan populasi dan aktiviti hidupan setempat.

3Pengurusan  Perosak Bersepadu (IPM) 
            Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) menekankan penggunaan berbagai kaedah alternatif untuk mengawal perosak dan mengurangkan pergantungan kepada kimia racun perosak serta dapat mengurangkan kos pengeluaran pertanian.  Para petani digalakkan menggunakan racun secara paling minimum atau sebagai pilihan terakhir dan apabila perlu sahaja terutamanya apabila serangga perosak melebihi tahap ambang ekonomi (Economic Threshold Level). Dengan demikian, pendedahan hasil pertanian kepada pemakaian racun makhluk perosak yang toksik berkurangan dan matlamat untuk menghasilkan makanan yang selamat yang bermula dari ladang hinggalah  ke meja makan serta pada kos yang rendah dapat dicapai.
            Justeru itu, Jabatan Pertanian harus membangunkan lebih banyak pakej IPM untuk diamalkan oleh para petani. Penyelidikan ke arah mewujudkan ETL bagi musuh dan penyakit berbagai-bagai jenis tanaman perlu dipergiatkan dan ditingkatkan lagi.

4.  Mempertingkatkan Penguatkuasaan Undang-Undang
            Bahagian Kawalan Mutu makanan, Kementerian Kesihatan ialah pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk menguatkuasakan standard keselamatan makanan seperti yang diperuntukkan dalam Peraturan-peraturan Makanan 1985 dan Akta Makanan 1983. Antara lain, ia mengawal had maksimum residu racun perosak dalam buah-buahan dan sayur-sayuran yang diimport  dan dihasilkan dalam negeri.

Selaku urus setia kepada Lembaga Racun makhluk perosak, Jabatan Pertanian adalah bertanggungjawab untuk menguatkuasakan Akta Racun makhluk Perosak 1974. Seksyen 53A Akta Racun makhluk Perosak 1974 mengawal penggunaan racun makhluk perosak yang tidak didaftarkan dan penggunaan racun perosak dengan cara yang tidak diluluskan.

            Penguatkuasaan akta-akta ini haruslah dipertingkatkan untuk memberi kesedaran kepada para petani dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan keselamatan makanan akibat penggunaan racun perosak dengan cara yang tidak berkhemah dan tidak mengikut sepertimana yang disyorkan pada label racun perosak. Kerjasama di antara agensi yang menguatkuasakan akta ini haruslah dilakukan dengan sentiasa memantau residu racun perosak dalam hasil-hasil pertanian yang dikeluarkan di seluruh negara.

5.  Menjalankan kajian semula pendaftaran racun perosak 
            Untuk meningkatkan lagi keberkesanan, Lembaga Racun makhluk Perosak di bawah Jabatan Pertanian hendaklah sentiasa membuat random sampling di pasaran untuk memastikan racun perosak yang dipasarkan adalah mematuhi spesifikasi sepertimana yang telah didaftarkan dan disahkan oleh Lembaga untuk mengenalpasti racun tiruan, racun yang tidak berdaftar dan kemerosotan kualiti sesuatu racun itu.

            Disamping itu juga Lembaga  sentiasa membuat kajian semula dan memantau racun perosak yang berdaftar melalui pelbagai pemantauan pasca pendaftaran terhadap racun perosak yang telah didaftarkan dikenalpasti amat toksik dengan mengesyorkan racun-racun alternatif yang lebih selamat bagi menggantikan racun perosak yang amat toksik dan mempunyai masalah residu pada tanaman. Beberapa jenis racun perosak telah dibatalkan pendaftarannya atau dihadkan penggunaannya kerana menimbulkan masalah residu berlebihan pada sayur-sayuran. Metamidophos, monocrotophos dan acephate yang hanya dibenarkan pada tanaman kelapa dan kelapa sawit sahaja kerana bersifat ‘persistent’ pada alam sekitar. Racun perosak profenofos, triazophos, prothiofos, quinalphos dan penthoate tidak dibenarkan penggunaannya pada tanaman sayur-sayuran.

6.  Pemantauan residu racun perosak dalam hasil-hasil pertanian
            Jabatan Pertanian telah menjalankan program  pemantauan residu racun makhluk perosak dalam sayur-sayuran yang diambil daripada peringkat ladang dari seluruh negara untuk dicerakinkan. Dengan adanya maklumat ini, arahan tindakan susulan oleh Lembaga Racun Makhluk Perosak ke atas setiap negeri mengkehendaki pegawai-pegawai yang terlibat dikehendaki membuat pemantauan dan khidmat nasihat kepada petani atau tuan punya ladang yang didapati residu racun perosak pada tanaman mereka melebihi tahap residu yang dibenarkan. Dengan adanya aktiviti seperti ini tindakan jangka pendek dan jangka panjang dapat dirancang dan dilaksanakan untuk memperbaiki keadaan ini seterusnya makanan yang datang dari ladang akan berkualiti dan selamat untuk dimakan. Dengan adanya maklumat ini dapat digunakan untuk meyokong khidmat pengembangan Jabatan Pertanian bagi memastikan petani mengeluarkan hasil yang berkualiti yang tidak mengandungi residu racun perosak berlebihan.

7.  Mempergiatkan aktiviti pengembangan dan pendidikan racun makhluk perosak
            Jabatan Pertanian menyedari bahawa pendidikan dan latihan petani adalah satu langkah penting ke arah mengurangkan bahaya racun perosak. Oleh sebab itu, Jabatan Pertanian telah mengorak langkah dengan mempertingkatkan program pengembangan racun makhluk perosak dan metodologi pengembangan yang sedia ada di mana dengan mengadakan kursus-kursus kapada pegawai teknikal  seperti Kursus Mengenal Racun Perosak, Kursus Pengembangan Racun Perosak, Kursus Amalan Pertanian Baik (APB)  secara teori dan praktikal di mana pegawai yang terlibat didedahkan tentang cara penggunaan racun makhluk perosak secara berhemah termasuklah penggunaan mematuhi arahan pada label yang diluluskan, teknologi aplikasi racun makhluk perosak supaya dapat memberi impak kepada peladang di Malaysia dalam pengeluaran hasil pertanian yang selamat dari ladang. 

8.   Penglibatan Negara Di Forum Antarabangsa
            Penyertaan dan penglibatan yang aktif negara dalam forum antarabangsa khususnya Stockholm Convention, Rotterdam Convention, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), dan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).  Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) misalnya telah berusaha ke arah meningkatkan tahap keselamatan makanan yang bermula dari peringkat ladang lagi. WHO secara perkongsian dengan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) adalah urus setia kepada suruhanjaya Codex Alimentarius (CAC), badan yang bertanggungjawab bagi menetapkan standard makanan dan menyediakan garis panduan keselamatan makanan yang berkenaan.

CAC kini sedang giat menggubal perinsip/garis panduan antarabangsa untuk pengesanan produk dan bahan makanan. Dalam bahasa mudah, ‘food traceability’ ialah kemampuan untuk mengesan balik dan mengenalpasti siapa, di mana dan bila sesuatu produk makanan itu dihasilkan dan proses-proses yang dilaluinya sebelum sampai kepada pengguna. Ini amat penting secara tepat punca masalah supaya tindakan pembetulan yang perlu dapat diambil.

9.   Penggunaan Teknologi Moden Dalam Pengeluaran Pertanian     
            Program latihan dan kemudahan hendaklah diterapkan dan  dipertingkatkan bagi memastikan petani dibekalkan dengan kemahiran teknikal dan ICT  atau  teknologi  maklumat dan komunikasi. Sistem pengeluaran di bawah struktur pelindung seperti struktur jaring dan pelindung hujan, sistem fertigasi melalui pengairan titis, hidroponik dan aeroponik boleh mengurangkan penggunaan input dengan cekap terutamanya penggunaan racun makhluk perosak dan baja.
Perladangan tepat (precision farming), sistem pengurusan pertanian dengan menggunakan alat-alat canggih seperti penderiaan jauh atau satelit, alat Penentu Kedudukan Global (GPS) dan sistem maklumat geografi (GIS) telah digunakan secara meluas di ladang besar bagi mengurangkan pembaziran input-input, meningkat produktiviti dan kualiti hasil ladang.  Begitu juga, penggunaan teknologi komunikasi maklumat, kaedah Sistem Sasaran dan Diagnosis (DRIS) juga perlu dipergiatkan bagi mencapai hasil yang berkualiti tinggi.
Selain itu, teknologi moden dalam konteks untuk peningkatan hasil pertanian mestilah diawasi bagi mengelakkan risiko baru terhadap kesihatan manusia. Bioteknologi, penggunaan hormon dan antibiotik adalah contoh-contoh teknologi moden. Walaupun manfaat diperolehi daripada potensi bioteknologi seperti peningkatan kandungan nutrien makanan, penyingkiran bahan yang boleh menyebabkan kesan alahan dan penggunaan tanaman yang rintang perosak/racun perosak, namun pemakanan daripada pengubahsuaian genetik perlu dikaji dengan labih teliti supaya kesan buruknya terhadap kesihatan manusia dapat ditentukan.

10.  Mewujudkan Dasar Keselamatan Makanan
                Dasar Keselamatan Makanan juga telah dibuat dan ini akan memberi halatuju kepada kawalan keselamatan makanan negara dan akan meliputi elemen-elemen seperti  infrastruktur keselamatan makanan, kebolehkesanan (traceability) bagi tujuan pendakwaan di mahkamah, pengurusan krisis yang berkesan, sistem jaminan keselamatan makanan, kolaborasi dalam pendidikan dan penyelidikan, keselamatan makanan import dan eksport.            Untuk mencapai objektif-objektif ini, pendekatan yang diambil akan berteraskan pendidikan di mana kempen ini akan menfokuskan kepada promosi kebersihan dan keselamatan pengeluaran makanan di peringkat ladang. Beberapa strategi akan digunakan untuk menyebarkan maklumat bagi meningkatkan tahap kesedaran dan mengubah tingkah-laku kumpulan sasar.
              
               Media massa, sama ada media elektronik ataupun media cetak, akan digunakan untuk menyebarkan maklumat dengan seluas mungkin serta memperingatkan kumpulan sasar tentang cara amalan keselamatan makanan yang baik.  Latihan melalui seminar, bengkel, kursus dan sebagainya akan dilaksanakan untuk kumpulan sasar. Penglibatan pelbagai pihak termasuk pihak swasta dan badan-badan bukan kerajaan akan diperolehi, mulai peringkat pelaksanaan kempen sehingga peringkat penilaian.

11.  Memantapkan Penglibatan Dalam Aspek Penetapan Piawaian Makanan
               Bahagian Kawalan Racun Perosak Jabatan Pertanain iaitu selaku urus setia kepada “Kumpulan Kerja Menetapkan Had Maksimum Residu Racun Makhluk Perosak Dalam Komoditi Pertanian” telah menetapkan piawaian MRLs racun perosak yang didaftarkan di Malaysia bagi menentukan bahawa komoditi pertanian tidak mempunyai residu racun perosak yang berlebihan yang boleh menjejaskan keselamatan makanan.
              
               Jabatan Pertanian juga menganggotai Kumpulan Kerja Pakar (EWG) penyeragaman nilai MRLs racun perosak dalam komoditi pertanian antara Negara ASEAN dan menyertai mesyuarat “CODEX Committee on Pesticide Residues (CCPR)” setiap tahun yang biasa diadakan The Hague, Belanda di mana ia bertujuan menetapkan MRLs dalam komoditi pertanian yang diperdagangkan di peringkat antarabangsa bagi melicinkan perdagangan di antara negara-negara. MRLs yang ditetapkan oleh CCPR, walaupun tidak diwajibkan ianya telah menjadi lebih penting akibat daripada keputusan World Trade Organisation (WTO) bahawa dalam perbalahan perdagangan mengenai keselamatan makanan, MRL CODEX ia akan dijadikan bahan rujuk.


No comments:

Post a Comment